fb fb fb fb fb

Bela nasib serantau, Malaysia tempelak kuasa besar, gesa Asia terajui dunia berbelah pendirian

TOKYO, 26 Mei- Rantau Asia perlu bersatu dan berstrategi dalam suara perkumpulan menerajui dunia ketika ini yang berbelah pendirian dalam mendepani ancaman tradisional dan bukan tradisional.

Keadaan itu mengakibatkan ketidakstabilan ekonomi, kesan rantaian bekalan makanan dan impak perubahan iklim kepada kemakmuran serantau.

Mengambil peluang pentas antarabangsa Nikkei di Tokyo, Jepun yang dihadiri para pemimpin rantau Asia, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menempelak konflik politik sejagat kuasa besar yang akhirnya memberi kesan langsung kepada negara-negara serantau lain termasuk Malaysia.

Bagi menanganinya, Malaysia menggariskan tiga teras yang boleh memandu rantau ini mendepani dan keluar daripada cabaran-cabaran dihadapi ketika ini.

Perdana Menteri menggesa rakan-rakan rantau Asia untuk memperkasakan integrasi ekonomi serantau, mengukuhkan kerjasama dan mekanisme perundingan serta bermuafakat dalam menangani cabaran perubahan iklim.

Gesaan Malaysia itu disuarakan menerusi ucaptama sulungnya pada Persidangan Nikkei Mengenai Masa depan Asia kali ke-27 yang mengetengahkan tema “Mentakrif Semula Peranan Asia dalam Dunia Yang Berbelah Pendirian” di hadapan kira-kira 200 peserta persidangan.

Beliau memberi contoh konflik politik yang melanda Ukraine, perang perdagangan Amerika Syarikat-China serta pandemik COVID-19, yang telah memberi tekanan pelbagai kepada negara serantau.

"Malah ketika negara kuasa dunia dan syarikat multinasional kalut akibat kekurangan semikonduktor dan mikrocip yang menjejaskan industri mereka, isu gangguan bekalan terutamanya makanan memberi kesan buruk lebih besar kepada rakyat biasa terutama dengan meningkatnya kadar inflasi sehingga mencapai paras rekod tertinggi," kata Perdana Menteri semasa memberi ucapan sulung di pentas persidangan antarabangsa yang disampaikan dalam Bahasa Melayu sepenuhnya.

(Datuk Seri Ismail Sabri menyampaikan ucaptama pada Persidangan Nikkei Mengenai Masa depan Asia kali ke-27)

Tambah Datuk Seri Ismail Sabri, apa yang dihadapi rantau Asia ketika ini adalah cabaran kepada pembuat dasar di Asia untuk tidak bertindak sendirian dalam jangka masa yang panjang, termasuk kepada Malaysia yang bergantung kepada keadaan serantau yang stabil, inklusif dan makmur.

"Sekarang bukannya masa untuk kita terus berbelah pendirian, dunia sedang berdepan dengan pelbagai ancaman termasuk perubahan iklim yang memerlukan komitmen, kerjasama serantau dan antarabangsa dalam usaha untuk menanganinya.

Dasar sehala atau unilateral yang diperkenal kuasa besar dunia hanya meningkatkan daya saing satu pihak dan memberi tekanan kepada pihak lain termasuk pihak ketiga yang tidak terlibat langsung, keadaan ini boleh mengakibatkan berlakunya perbezaan mendalam dan kita perlu mengelak daripada menjadi mangsanya," katanya lagi.

Terdahulu sebelum ucaptama, Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Pengerusi Nikkei Incorporated, Naotoshi Okada.

Beliau juga ditemu ramah secara esklusif oleh media tempatan Nikkei dan Nikkei Asia mengenai dasar luar dan hala tuju Malaysia.

Sejurus ucaptama, Perdana Menteri turut menjawab beberapa pertanyaan semasa sesi soal jawab.

Media Baharu