LAHORE, 25 Oktober – Orang ramai di Lahore, Pakistan dilihat memakai pelitup muka pada Sabtu apabila jerebu tebal menyelubungi bandar itu, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai tahap pencemaran udara yang semakin meruncing.
Menurut kumpulan pemantau kualiti udara dari Switzerland, IQAir, Indeks Kualiti Udara (AQI) di Lahore meningkat kepada 412 kira-kira pukul 7.00 pagi waktu tempatan (0200 GMT), iaitu dalam kategori “berbahaya”.
Situasi itu menjadikan Lahore sebuah bandar paling tercemar di dunia.
Pada minggu ini, fenomena jerebu di bandar itu dilaporkan bertambah buruk akibat pembakaran sisa pertanian dan asap daripada mercun perayaan Diwali di negara jiran, India.
Menurut jurucakap Agensi Perlindungan Alam Sekitar Punjab, angin telah membawa asap dan bahan pencemar itu merentasi sempadan hingga ke Lahore.
Sementara itu, seorang penduduk tempatan turut menggesa kerajaan mengambil tindakan lebih tegas bagi menangani krisis berkenaan.
Fenomena jerebu menjadi masalah tahunan di Lahore setiap kali musim sejuk apabila udara sejuk memerangkap bahan pencemar seperti asap kenderaan dan pelepasan industri, sekali gus menjejaskan banyak kawasan lain di Asia Selatan.- REUTERS