KIEV, 25 Oktober - Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan kira-kira 20 lagi cedera dalam serangan dron dan peluru berpandu Rusia pada awal pagi Sabtu yang menyasarkan ibu kota Ukraine, Kiev serta beberapa wilayah lain, menurut pihak berkuasa tempatan.
Serangan itu berlaku ketika sekutu Barat Kiev meningkatkan tekanan terhadap Moscow menjelang musim sejuk keempat sejak perang bermula.
Kementerian Dalam Negeri Ukraine dalam satu kenyataan di media sosial berkata, seorang anggota penyelamat maut dan seorang lagi cedera akibat serangan peluru berpandu di kawasan Petropavlivska, wilayah Dnipropetrovsk.
Selain itu, seorang wanita turut terbunuh dan tujuh lagi cedera di wilayah timur negara itu. Serangan berkenaan turut menyebabkan kerosakan lori bomba, bangunan kediaman, serta beberapa premis perniagaan.
Datuk Bandar Kiev, Vitali Klitschko, memaklumkan dua orang terbunuh dan 12 cedera di ibu kota.
Wartawan AFP melaporkan terdengar bunyi peluru berpandu dan letupan kuat kira-kira pukul 4.00 pagi waktu tempatan (01.00 GMT).
Perkhidmatan kecemasan turut berkongsi gambar anggota bomba memadam kebakaran di daerah Desnyansky dan Darnytsky.
Sementara itu, Tentera Udara Ukraine berkata, Rusia melancarkan sembilan peluru berpandu balistik Iskander-M serta 62 dron, namun empat peluru berpandu dan 50 dron berjaya ditembak jatuh.
Dalam perkembangan berkaitan, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah minggu ini mengumumkan sekatan baharu terhadap sektor tenaga Rusia dalam usaha melumpuhkan ekonomi Moscow.-AFP