HONG KONG, 25 Oktober - Pihak berkuasa Hong Kong mengesahkan kotak hitam pesawat kargo yang terlibat dalam nahas yang meragut dua nyawa awal minggu ini telah berjaya ditemui.
Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Hong Kong memaklumkan, selain kotak hitam, sebahagian enjin dan roda pendaratan pesawat turut berjaya dikeluarkan dari lokasi nahas.
Menurut Biro Pengangkutan dan Logistik Hong Kong, laporan siasatan awal dijangka akan dikeluarkan dalam tempoh sebulan.
Pihak berkuasa juga memaklumkan agensi penyiasatan kemalangan penerbangan Amerika Syarikat dan Turkiye, bersama pakar dari syarikat Boeing, kini menyertai siasatan tersebut.
Pesawat kargo itu dilaporkan tergelincir dari landasan sebelum terjunam ke laut ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong awal pagi Isnin.
Dua anggota keselamatan yang terkorban dilaporkan berada di kawasan yang dianggap selamat di luar zon landasan ketika kejadian berlaku.
Insiden itu dianggap antara kemalangan paling buruk sejak Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong memulakan operasi pada 1998.
Syarikat Emirates Airlines dalam satu kenyataan berkata, pesawat itu disewa daripada Act Airlines, sebuah syarikat yang berpangkalan di Istanbul.-AFP