BAITULMAQDIS, 29 Oktober - Kebiadapan dan kekejaman Israel berterusan apabila negara haram itu meluluskan rang undang-undang, melarang Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA) beroperasi.
Pengharaman operasi agensi itu meliputi seluruh Israel dan timur Baitulmaqdis yang diduduki, walaupun mendapat bantahan daripada masyarakat antarabangsa.
Menerusi hantaran di laman X, Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarini mengecam tindakan tersebut yang disifatkan sebagai hanya akan "mewujudkan satu keadaan yang berbahaya".
Sekali gus memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang sudah terlalu kritikal di Gaza.
Tindakan berkenaan turut menerima kritikan daripada Amerika Syarikat, Britain dan Jerman.
Pakar pula berpandangan, larangan terhadap agensi PBB itu menghulurkan bantuan penting kepada wilayah-wilayah Palestin dan kumpulan pelarian Palestin di tempat-tempat lain selama lebih tujuh dekad, merupakan tamparan hebat kepada aktiviti-aktiviti kemanusiaan di Gaza jika ia dilaksanakan.
UNRWA merupakan responden terbesar dalam operasi kemanusiaan di Gaza, yang bertanggungjawab menyediakan makanan dan tempat tinggal kepada penduduk Palestin di Gaza, selain penjagaan kesihatan dan pendidikan.-AFP