fb fb fb fb fb

AS restu Ukraine guna semua senjata andai Korea Utara sertai Rusia dalam peperangan

FOTO REUTERS

WASHINGTON, 29 Oktober- Amerika Syarikat tidak akan mengenakan had baharu ke atas penggunaan senjata oleh Ukraine jika Korea Utara menyertai perang di pihak Rusia, menurut Pentagon pada Isnin.

NATO melaporkan tentera Korea Utara telah ditempatkan di wilayah Kursk, Rusia.

Penempatan itu menimbulkan kebimbangan di Barat, walaupun tumpuan kini beralih ke Asia Barat. Ia juga berpotensi menunjukkan usaha Rusia untuk mengimbangi kekalahan di medan perang sambil terus bergerak perlahan di timur Ukraine.

"Kerjasama ketenteraan yang kuat antara Rusia dan Korea Utara merupakan ancaman kepada keselamatan Indo-Pasifik dan Euro-Atlantik," kata Setiausaha Agung NATO Mark Rutte kepada wartawan selepas pertemuan dengan delegasi Korea Selatan.

Presiden AS, Joe Biden, menyifatkan perkembangan itu sebagai "amat berbahaya."

Pentagon menganggarkan 10,000 tentera Korea Utara telah dikerah ke Rusia Timur untuk latihan, meningkat daripada anggaran 3,000 pada Rabu lepas.

Sebahagian daripada tentera itu telah mendekati Ukraine dan Pentagon semakin bimbang Rusia mungkin menggunakan mereka dalam pertempuran atau sokongan di wilayah Kursk, berhampiran sempadan Ukraine.

Pada mulanya, Kremlin menolak laporan tentang penempatan Korea Utara sebagai "berita palsu." Namun, Presiden Rusia, Vladimir Putin, tidak menafikan kehadiran tentera Korea Utara di Rusia.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, menyifatkan tindakan tersebut sebagai peningkatan konflik oleh Rusia. Menteri Luar Ukraine, Andrii Sybiha, menggesa sekutu supaya menanggalkan sekatan terhadap serangan jarak jauh ke atas Rusia.

Sejak pemimpin Korea Utara dan Rusia mengadakan pertemuan tahun lepas, kedua-dua negara telah mempertingkatkan hubungan ketenteraan mereka.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE