COPENHAGEN, 29 Oktober -Penulis terkenal dari Kanada, Margaret Atwood, yang kini berusia 84 tahun mengakui dia tidak bimbang tentang kehadiran kecerdasan buatan (AI) dalam dunia kreatif.
Sebaliknya, beliau masih menikmati waktu menulisnya, meskipun perubahan teknologi yang pantas.
Atwood, yang pertama kali menerbitkan karya puisinya pada tahun 1961 dan novel sulungnya, 'The Edible Woman', pada 1969, telah menghasilkan lebih dari 60 buku termasuk novel, cerpen, dan buku kanak-kanak.
Dalam temu bualnya bersama Reuters di Denmark baru-baru ini, Atwood tampil dengan gaya santai ketika menerima Anugerah Kesusasteraan Hans Christian Andersen, yang dinamakan sempena pengarang dongeng abad ke-19 terkenal.
"Saya bukan penulis yang bergelut dengan penderitaan dan mendapati menulis itu sangat sukar.
"Anda boleh meneka berdasarkan jumlah buku yang saya hasilkan,” kata Atwood sambil tersenyum. "Saya sebenarnya berseronok", katanya.
Ketika ditanya mengenai pengaruh AI terhadap kerjayanya, Atwood mengakui dia lebih tenang berbanding penggiat seni yang lebih muda.
"AI memang merisaukan ramai orang. Tetapi, saya sudah terlalu tua untuk bimbang tentang perkara itu.
"Jika saya berusia 30 tahun, mungkin saya akan bimbang, Jika saya seorang pereka grafik, pasti saya akan risau", jelasnya.
Tahun lalu, Atwood mengulas beberapa puisi dan karya sastera yang dihasilkan oleh AI menggunakan namanya sendiri. Hasilnya, Dia tidak terkesan.
"Setakat ini, AI adalah penyair yang buruk. Sangat teruk," kata Atwood secara bersahaja.
"Dan AI juga bukan penulis fiksyen yang bagus", tambahnya.
Novel dystopian Atwood yang terkenal, The Handmaid’s Tale, diterbitkan pada tahun 1985 dan menggambarkan sebuah diktator teokrasi di Amerika Syarikat, kembali mendapat perhatian apabila jualannya melonjak selepas Donald Trump menjadi presiden AS pada 2016.
Di usia emasnya, Atwood tampaknya memilih untuk terus berkarya tanpa dihantui perubahan dunia teknologi.
"Saya masih berseronok," katanya, memberi inspirasi kepada penulis dan pembaca di seluruh dunia.-REUTERS