fb fb fb fb fb

Jurutera angkasa wanita tunggal China sertai kru misi Shenzhou-19

FOTO CMSA

JIUQUAN, 29 Oktober- Jurutera angkasa wanita tunggal China akan menjadi sebahagian daripada kru tiga angkasawan yang dihantar ke stesen angkasa Tiangong minggu ini, umum Beijing pada Selasa.

Misi Shenzhou-19 dijadualkan berlepas pada Rabu, pukul 4.27 pagi dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China, menurut Agensi Angkasa Bermanusia China (CMSA).

Kru termasuk Wang Haoze, satu-satunya jurutera wanita China dalam bidang penerbangan angkasa. Ini akan menjadikannya wanita ketiga dari China yang menyertai misi angkasa bermanusia.

Pasukan tersebut diketuai oleh Cai Xuzhe, seorang bekas juruterbang tentera udara berusia 48 tahun yang mempunyai pengalaman dalam misi Shenzhou-14 pada 2022.

Seorang lagi ahli kru ialah Song Lingdong.

Kru yang kini berada di Tiangong dijadualkan kembali ke bumi pada 4 November selepas menyelesaikan prosedur serah tugas dengan angkasawan baharu.

China, menerusi program angkasa ketiga yang berjaya menghantar manusia ke orbit, juga telah mendaratkan rover robot di Marikh dan bulan.

Stesen angkasa Tiangong, yang menempatkan kru tiga angkasawan yang diganti setiap enam bulan, merupakan permata utama dalam program angkasa China.

Beijing bercadang untuk menghantar misi bermanusia ke bulan menjelang 2030 dan membina pangkalan di permukaan bulan.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE