LIMA, 22 Disember- "Tikus amfibia" adalah antara 27 spesies baharu yang ditemui semasa ekspedisi 2022 ke hutan hujan Amazon di Peru.
Menurut Conservation International, haiwan itu memiliki kaki separa berselaput dan memakan serangga jenis akuatik.
Para saintis juga menemui seekor tikus berduri, seekor tupai, lapan jenis ikan, tiga amfibia dan 10 jenis rama-rama, kata Ketua Program Penilaian Pantas Conservation International, Trond Larsen.
Beliau berkata 48 lagi spesies yang ditemui berpotensi merupakan spesies baharu, tetapi memerlukan kajian lanjut.
Spesies baharu itu ditemui di Alto Mayo, kawasan terlindung dengan beberapa ekosistem, wilayah orang asli dan kampung.
"Kami menemui banyak spesies baru mamalia dan vertebrata. Ini benar-benar luar biasa, terutamanya dalam landskap yang dipengaruhi manusia seperti Alto Mayo, " kata Larsen.
Ekspedisi antara Jun dan Julai 2022 itu terdiri daripada 13 saintis serta juruteknik tempatan dan ahli kumpulan orang asli.
"Sungguh mengagumkan untuk bekerja rapat dengan orang Awajun. Mereka mempunyai pengetahuan tradisional yang luas tentang hutan, haiwan dan tumbuhan," kata Larsen.
Antara spesies baharu yang ditemui semasa ekspedisi berkenaan termasuk tikus berduri yang mempunyai bulu kaku, tikus amfibia dan tupai kerdil yang berukuran 14 cm (5.5 in).
Ikan berkepala gumpal ('blob-headed’ fish)
Satu lagi penemuan kegemaran ialah ikan berkepala gumpal ('blob-headed’ fish), katanya.
Sebanyak 2,046 spesies telah direkodkan dalam ekspedisi selama 38 hari menggunakan perangkap kamera, sensor bioakustik dan pensampelan asid deoksiribonukleik (DNA).
Antara jumlah itu, 49 diklasifikasikan sebagai terancam, termasuk monyet bulu ekor kuning dan monyet pokok.
Larsen berkata penemuan itu mengukuhkan keperluan untuk melindungi kawasan berkenaan.
"Tapak ini perlu dilindungi dan dipelihara, ia bagi mengekalkan ekosistem semula jadi di kawasan ini.
"Sekiranya tidak dipelihara, kemungkinan besar ia akan menjejaskan spesies terancam serta menyebabkan ekosistem terjejas," kata Larsen.- REUTERS