RAFAH, 10 Mei - Tidak mempedulikan gesaan antarabangsa untuk gencatan senjata, Zionis Israel meneruskan kekejaman di Rafah dengan membedil sebuah masjid di bandar itu.
Serangan udara tersebut membunuh tiga orang dan mencederakan yang lain.
Penduduk mendakwa, serangan dilancarkan menerusi helikopter dan dron.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, sekurang-kurangnya 34,904 maut sejak perang tercetus, tahun lepas manakala lebih 78,000 cedera.
Jumlah itu termasuk 60 mangsa yang terbunuh dalam tempoh 24 jam.
Dalam pada itu, Hamas menggesa bantuan yang digugurkan dari udara dihentikan dan memohon laluan darat diaktifkan bagi menyampaikan bantuan ke utara Gaza.
Ini selepas dua lagi penduduk Palestin maut akibat payung terjun yang membawa palet bantuan berkenaan, gagal terbuka dan merempuh sebuah gudang.
Kematian terbaharu tersebut juga menjadikan keseluruhan angka korban akibat terkena palet bantuan meningkat kepada 21 orang.
Jurucakap media Hamas, Salama Marouf berkata penyaluran bantuan menerusi udara itu tidak memberikan penyelesaian sebenar dalam mengurangkan krisis makanan yang melanda utara Gaza ketika ini.
Agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan bantuan kemanusiaan turut menegaskan, penghantaran menerusi jalan laut dan udara tidak mampu menyalurkan bantuan dalam kuantiti diperlukan lebih 2.4 juta penduduk di Gaza.-REUTERS