Tehran, 15 Januari - Tiga maut selepas sebuah pesawat ringan latihan polis terhempas di utara Iran, menurut laporan media rasmi.
"Pesawat latihan ringan terhempas berhampiran bandar Rasht pada Rabu disebabkan oleh kerosakan teknikal," lapor agensi berita rasmi IRNA yang memetik kenyataan pihak polis.
"Juruterbang, pembantu juruterbang, dan jurutera penerbangan terkorban," tambahnya.
Iran yang dikenakan sekatan telah mengalami beberapa kemalangan udara dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan pegawai menyatakan kesukaran mendapatkan alat ganti untuk mengekalkan operasi armada lama mereka.
Industri pengangkutan udara Iran telah dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat sejak 1995, yang menghalang syarikat penerbangan daripada membeli pesawat penumpang atau alat ganti, menyebabkan sebahagian armada mereka tidak dapat digunakan.
Bekas Presiden Ebrahim Raisi, Menteri Luar Hossein Amir-Abdollahian, dan enam orang lain terkorban dalam nahas helikopter pada Mei tahun lalu.
Pada tahun 2009, sebuah pesawat Tupolev-154 milik syarikat penerbangan Caspian Airlines dari Iran terhempas di sebuah ladang dalam perjalanan ke Armenia, mengorbankan 168 penumpang dan anak kapal.
Pihak berkuasa Iran menyatakan bahawa nahas itu disebabkan masalah teknikal. - AFP