Indonesia, 15 Januari - Ribuan penduduk pulau dijangka dipindahkan selepas gunung berapi meletus di timur Indonesia,menurut pihak berkuasa pada Rabu.
Gunung Ibu, yang terletak di pulau terpencil Halmahera meletus kali kelima tahun ini pada Rabu, dengan kepulan asap mencapai ketinggian empat kilometer ke udara.
Agensi Geologi Indonesia mengeluarkan status amaran gunung berapi itu dinaikkan ke tahap tertinggi.
"Susulan peningkatan status (amaran) Gunung Ibu, hari ini kami akan memindahkan penduduk di lima buah kampung," kata Ketua Pengurusan Bencana Tempatan, Wawan Gunawan Ali.
Beliau menambah bahawa pihak berkuasa merancang untuk memindahkan kira-kira 3,000 penduduk dari kampung berhampiran pada malam Rabu.
Ramai penduduk telah berkumpul di sebuah dewan kampung, bersiap sedia untuk pemindahan, menurut wartawan AFP yang berada di lokasi.
Penduduk yang tinggal berhampiran Gunung Ibu dan pelancong dinasihatkan untuk mengelakkan kawasan dalam lingkungan lima hingga enam kilometer dari puncak gunung berapi dan memakai pelitup muka bagi melindungi diri daripada abu yang jatuh. - AFP