fb fb fb fb fb

Tiga tentera Syria cedera dalam serangan udara Israel

Foto AFP

DAMASCUS, 13 Mac-Tiga tentera Syria cedera dalam serangan udara oleh Israel pada pagi tadi lapor media tempatan.

Serangan udara oleh Israel itu menyasarkan lokasi di ibu negara dan barat Syria.

Agensi berita SANA melaporkan Israel melancarkan serangan peluru berpandu dari utara Lubnan dengan menyasarkan Tartus dan Hama sebagai sasaran.

"Serangan itu mencederakan tiga anggota tentera dan kerosakan material", lapor agensi tersebut sambil menambah pasukan tentera udara Syria turut berjaya memintas beberapa peluru berpandu.

Sementara itu, tentera Israel berkata mereka tidak akan mengulas laporan serangan tersebut di media antarabangsa.

Selasa lalu, jet pejuang Israel telah membunuh tiga orang rakyat Syria dalam serangan di lapangan terbang Aleppo menurut pemerhati antarabangsa.

Sejak perang saudara di Syria tercetus pada 2011, Israel telah melancarkan beratus-ratus serangan udara menyasarkan kerajaan Syria sekutunya, Iran dan pejuang Hezbollah.

Israel jarang mengulas serangannya terhadap Syria, tetapi berikrar meningkatkan kempen bagi menghentikan Iran daripada mengukuhkan cengkamannya di Syria.-AFP


(Serangan udara Israel di Aleppo/Foto AFP)

Media Baharu