fb fb fb fb fb

Dunia mungkin sedang saksikan 'Nakba Kedua' - PBB

Foto-AFP

NEW YORK, 10 Mei – Sebuah jawatankuasa Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran, dunia mungkin sedang menyaksikan satu lagi pengusiran besar-besaran rakyat Palestin, seumpama peristiwa Nakba pada 1948.

Dalam kenyataan selepas misi tahunan ke Amman, Jawatankuasa Khas PBB mengenai Amalan Israel terhadap Rakyat Palestin menuduh Israel melaksanakan pembersihan etnik.

Termasuk pemindahan paksa, perobohan rumah dan rampasan tanah secara sistematik.

Laporan itu menyebut tindakan ketenteraan Israel hanya dijadikan alasan untuk peluasan penempatan haram yahudi di wilayah Palestin, sebagai sebahagian daripada agenda penjajahan.

“Apa yang sedang disaksikan dunia kini boleh dianggap sebagai Nakba kedua,” menurut laporan jawatankuasa yang dianggotai wakil dari Malaysia, Sri Lanka dan Senegal.

Istilah Nakba, atau ‘malapetaka’, merujuk kepada pengusiran kira-kira 760,000 rakyat Palestin pada 1948, semasa perang yang membawa kepada pembentukan negara Israel.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN