MOSCOW, 9 Mei - Presiden China, Xi Jinping berikrar untuk menyokong Myanmar dalam usaha membina semula negara itu selepas dilanda gempa bumi paling dahsyat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut laporan agensi berita rasmi China, Xinhua, Xi menyatakan komitmen tersebut ketika bertemu ketua junta Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, di Moscow pada Jumaat.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin membincangkan beberapa inisiatif kerjasama serantau dan global.
Bencana alam itu telah memperkukuhkan kedudukan Min Aung Hlaing, yang sebelum ini terpinggir dalam arena diplomatik selama empat tahun selepas pemerintahannya menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik, sekali gus mencetuskan perang saudara yang berlarutan.
Insiden gempa bumi itu telah membuka peluang untuk beliau menjalin semula hubungan dengan kuasa serantau menerusi tawaran bantuan bernilai jutaan dolar, bekalan kecemasan, serta pasukan penyelamat dari beberapa negara termasuk China, India dan Rusia.
“Myanmar amat menghargai tiga inisiatif global yang dicadangkan oleh China serta visi untuk membina sebuah komuniti dengan masa depan bersama dengan negara jiran, dan bersedia untuk bekerjasama dengan China dalam menangani cabaran bersama,” kata Min Aung Hlaing dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan itu.
China kekal sebagai salah satu penyokong terkuat Myanmar di pentas antarabangsa, dan hubungan kedua-dua negara dijangka terus diperkukuh melalui kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pembangunan semula pasca bencana.-REUTERS