ISLAMABAD, 10 Mei - Tentera Pakistan mendakwa India telah melancarkan gelombang serangan peluru berpandu yang menyasarkan tiga pangkalan udara, termasuk sebuah di pinggir ibu negara.
Menurut jurucakap tentera, Mejar Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry, serangan yang berlaku pada awal pagi Sabtu itu melibatkan peluru berpandu yang menyasarkan Pangkalan Udara Nur Khan di Rawalpindi serta dua pangkalan lain.
Pangkalan udara Nur Khan terletak kira-kira 10 kilometer dari Islamabad dan merupakan fasiliti yang digunakan bagi menerima ketibaan pemimpin asing.
“India telah melancarkan serangan menggunakan peluru berpandu ke atas tiga pangkalan udara kami. Sebahagian besar peluru berpandu tersebut berjaya dipintas dan tiada aset penerbangan yang terjejas,” katanya dalam siaran langsung di televisyen negeri.
Beberapa letupan turut dilaporkan kedengaran di sekitar ibu negara sepanjang malam.
Difahamkan, Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar Negeri Arab Saudi, Adel Al-Jubeir, baru sahaja berlepas dari pangkalan udara itu beberapa jam sebelum serangan berlaku.
Ketegangan antara kedua-dua negara memuncak sejak Rabu lalu, selepas India melancarkan serangan udara ke atas tapak yang didakwanya sebagai pusat “pengganas” di wilayah Pakistan.
Serangan itu dibuat susulan serangan maut terhadap pelancong di bahagian India di wilayah Kashmir.
Pertempuran yang kini melibatkan peluru berpandu, dron dan tembakan rentas sempadan di Garisan Kawalan (LoC) di Kashmir disifatkan sebagai yang terburuk dalam tempoh beberapa dekad, dengan lebih 50 orang awam dilaporkan terkorban.
Dalam kenyataan tegasnya, Chaudhry memberi amaran kepada India bahawa Pakistan bersedia untuk bertindak balas. “Kini, tunggulah balasan kami,” katanya.-AFP