WASHINGTON, 10 Mei- Google bersetuju membayar sebanyak AS$1.375 bilion kepada kerajaan negeri Texas, Amerika Syarikat, dalam satu penyelesaian awal berhubung dakwaan pelanggaran privasi data pengguna.
Peguam Negara Texas, Ken Paxton berkata penyelesaian itu menamatkan dua kes mahkamah yang melibatkan tiga produk utama Google, susulan dakwaan melanggar undang-undang perlindungan pengguna negeri tersebut.
"Di Texas, syarikat teknologi besar tidak terkecuali daripada undang-undang. Google didapati menjejak pergerakan, carian peribadi, serta data suara dan wajah pengguna tanpa kebenaran, melalui pelbagai produknya.
"Saya berjuang dan akhirnya menang,” kata Paxton menerusi satu kenyataan rasmi pada Jumaat.
Sementara Google memaklumkan bahawa penyelesaian itu berkaitan dengan dakwaan terhadap mod penyemakan imbas peribadi (incognito), penjejakan lokasi serta pengumpulan data biometrik.
Syarikat berkenaan bagaimanapun tidak mengakui sebarang salah laku.
Jurucakap Google, José Castañeda berkata kes itu melibatkan dakwaan lama. Kami telah lama menukar dasar produk kami dan akan terus memperkukuh ciri privasi," katanya.- REUTERS