ISLAMABAD, 10 Mei 2025 – Jurucakap tentera Mejar Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry pada awal Sabtu memaklumkan India telah menembak peluru berpandu balistik dan kesemuanya jatuh di wilayahnya sendiri.
"Saya ingin memberi anda berita yang mengejutkan bahawa India menembak enam peluru berpandu balistik dari Adampur. Satu daripada peluru berpandu balistik melanda Adampur, selebihnya daripada lima peluru berpandu terkena di kawasan Punjab India di Amritsar," katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Tentera Pakistan pada Jumaat mengumumkan bahawa mereka akan membalas serangan udara India.
Chaudhry menafikan dakwaan Pakistan telah melancarkan serangan balas yang kemudiannya digagalkan.
Beliau memaklumkan sebanyak 77 dron India termasuk model buatan Israel telah ditembak jatuh atau dimusnahkan dalam wilayah Pakistan sepanjang dua hari lalu.
Serangan India sejak Rabu telah mengorbankan 33 orang awam dan mencederakan 62 yang lain, termasuk 14 anggota tentera Pakistan.
Pesuruhjaya daerah Amritsar menasihatkan penduduk supaya bertenang dan jangan panik.
"Siren dibunyikan kerana kita berada dalam amaran merah. Jangan panik, seperti sebelum ini, padamkan lampu, jauhkan diri dari tingkap. Kami akan maklumkan bila bekalan elektrik akan disambung semula." katanya.
Ketegangan sempadan antara dua kuasa nuklear Asia Selatan itu semakin meruncing dengan perkembangan terbaru yang dikhuatiri akan tercetusnya konflik lebih besar. - REUTERS