fb fb fb fb fb

Pakistan tuduh India cetus ketegangan nuklear, lebih 50 terbunuh

Foto-AFP

ISLAMABAD, 10 Mei – Pakistan menuduh India membawa kedua-dua negara jiran bersenjata nuklear itu semakin hampir kepada konflik besar.

Ini selepas angka korban akibat serangan peluru berpandu, artileri dan dron sejak tiga hari lalu melebihi 50 orang.

Jurucakap Kementerian Luar Pakistan, Shafqat Ali Khan, menyifatkan tindakan India sebagai tidak bertanggungjawab.

Beliau mendakwa ia membawa dua negara nuklear itu semakin hampir kepada peperangan.

Sementara itu, jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry, memberi amaran, Islamabad tidak akan meredakan ketegangan.

Malah akan bertindak balas pada masa yang ditentukan.

Dalam kenyataan berasingan, tentera India mendakwa berjaya menangkis beberapa serangan dari Pakistan menggunakan dron dan peluru lain.

Lewat Jumaat, pertahanan India memaklumkan beberapa dron dikesan di kawasan Jammu dan Samba dalam wilayah Kashmir yang ditadbir India, serta di negeri Punjab.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN