fb fb fb fb fb

Tiga maut, seorang kritikal dalam tembakan di Universiti Nevada

Pegawai penguatkuasa menuju ke kampus UNLV selepas laporan kejadian tembakan/REUTERS

LAS VEGAS, 7 Disember- Satu kejadian tembakan di kampus utama Universiti Nevada, Las Vegas, pada Rabu menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang maut tidak termasuk suspek, kata pihak berkuasa.

Jabatan Polis Las Vegas dalam kenyataan bertulis di media sosial berkata, "tiga orang, selain penembak, terbunuh." Seorang lagi yang ditembak berada dalam keadaan kritikal.

Pihak berkuasa belum mengenal pasti mangsa, punca kematian suspek juga masih belum diketahui.

Seorang profesor di universiti itu Vincent Perez, memberitahu MSNBC "saya mendengar banyak tembakan sebelum berlindung di kampus.

"Saya fikir hanya tujuh atau lapan tembakan. Satu demi satu, kuat dan semakin kuat," katanya. "Sebaik sahaja kami mendengarnya, kami berlari ke dalam dan kami menyedari ini adalah tembakan sebenar."

Selepas menerima panggilan berkenaan kejadian tembakan di universiti, pegawai penguatkuasa undang-undang "segera bertindak balas dan menghubungi suspek," kata jurucakap polis universiti Adam Garcia pada taklimat itu. "Suspek sudah meninggal dunia," tambahnya.

Sheriff Kevin McMahill dari Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas berkata tiada lagi ancaman kepada masyarakat, tetapi kampus UNLV utama dan cawangan lain universiti itu ditutup "bagi tujuan kewaspadaan."

Pegawai masih mencari di setiap bangunan bagi memastikan "tiada mangsa atau subjek tambahan berikutan kejadian itu," kata sheriff.

Laporan pertama kejadian itu muncul sekitar tengah hari, dan dalam masa kira-kira setengah jam polis Las Vegas melaporkan, "suspek telah dikesan dan sudah meninggal dunia."

Syerif berkata pelajar di kampus itu kelihatan terkejut, begitu juga dengan orang ramai. Kejadian serupa pernah berlaku sekitar tahun 2017, apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan dari tingkap hotel ke festival muzik di sepanjang Las Vegas Strip.

Dalam kejadian itu 60 individu terbunuh dan ratusan lagi cedera. Kes itu dianggap sebagai tembakan besar-besaran paling kejam dalam sejarah Amerika Syarikat yang dilakukan oleh seorang lelaki..

Di Washington, White House sedang memantau keadaan di Las Vegas.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI