fb fb fb fb fb

Tiga maut letupan bom di stesen kereta api Myanmar

(FOTO HIASAN)

YANGON, 14 Februari - Sekurang-kurang tiga maut, manakala sembilan lagi cedera dalam letupan bom di sebuah stesen kereta api di selatan Myanmar, semalam, menurut pihak junta dan media tempatan.

Pasukan maklumat junta dalam satu kenyataan memaklumkan insiden itu berlaku sekitar pukul 12.20 tengah hari di bandar Nyaunglaybin dalam wilayah Bago, kira-kira 150 kilometer utara Yangon.

(FOTO HIASAN)

Gambar yang turut diedar menunjukkan serpihan akibat letupan itu bertaburan di lokasi kejadian.

Dalam kenyataan sama, junta turut menyalahkan kumpulan penentang rampasan kuasa, Pasukan Pertahanan Rakyat (PDF) atas serangan itu tanpa memberikan bukti untuk dakwaan berkenaan.

Sebelum ini, pihak tentera dan kumpulan PDF saling menuding jari atas beberapa letupan maut yang berlaku sepanjang tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

Tiada sebarang kenyataan dikeluarkan PDF wilayah Bago, setakat ini berhubung kejadian terbaru itu.

Pergolakan di Myanmar berlaku sejak tentera merampas kuasa dua tahun lalu, dengan pemberontak anti-rampasan kuasa bertempur dengan askar junta di seluruh negara.-AFP

Media Baharu