fb fb fb fb fb

Spanberger wanita pertama bertanding merebut jawatan Gabenor Virginia

Abigail Spanberger, wanita pertama bertanding merebut jawatan Gabenor Virginia /AFP

WASHINGTON, 5 November- Abigail Spanberger menjadi wanita pertama yang akan bertanding merebut jawatan Gabenor negeri Virginia.

Spanberger akan menentang Leftenan Gabenor Republikan Winsome Earle-Sears, seorang veteran Marin dan sekutu kuat Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Pertembungan antara dua Demokrat berhaluan tengah dengan Republikan yang berpihak kepada Trump itu dianggap sebagai petunjuk sama ada pengundi telah mula menerima dasar penjimatan radikal Presiden itu, atau bersedia untuk memberikan tamparan hebat kepada partinya menjelang tahun 2026.

Pilihan raya di Virginia itu juga dilihat sebagai medan ujian terhadap pentadbiran Trump 2.0.

Sejak kembali ke White House, Trump telah menutup agensi kerajaan sepenuhnya serta mengakibatkan 200,000 pekerja kehilangan pekerjaan.

Spanberger yang juga bekas pegawai CIA itu mengekalkan kelebihan kukuh antara tujuh hingga 12 mata sepanjang kempen.

“Sepanjang tahun ini, rakyat Virginia menyaksikan ekonomi yang tidak menentu, pekerjaan dihapuskan, dan harga barang melambung tinggi,” tulis Spanberger di media sosial sebelum peti undi ditutup.

“Mereka sudah letih dengan kekacauan ini. Mereka mahu seorang Gabenor yang akan memberi tumpuan sepenuhnya untuk memulihkan ekonomi dan menurunkan kos sara hidup, seorang Gabenor yang akan mengutamakan rakyatnya.” katanya.

Menampilkan dirinya sebagai benteng menentang dasar pengurangan saiz kerajaan persekutuan yang agresif oleh Trump, Spanberger berjanji untuk menjadi seorang Gabenor yang akan mempertahankan ribuan pekerja persekutuan yang diberhentikan oleh Jabatan Kecekapan Kerajaan bawah pentadbiran Trump.

Earle-Sears pula menjalankan kempen yang menyasarkan pengundi konservatif, meniru strategi Gabenor Republikan terdahulu Glenn Youngkin dengan menumpukan isu-isu budaya seperti atlet transgender dan pengguguran. -AFP

SITI NOORAIN ABDULLAH