fb fb fb fb fb

Pegawai tinggi polis Indonesia dijatuhi hukuman mati kerana membunuh

(FOTO AFP)

JAKARTA, 14 Februari - Seorang bekas inspektor jeneral polis Indonesia dihukum mati oleh mahkamah di sini, atas kesalahan terbabit pembunuhan terancang pengawal peribadinya dalam kes yang mendapat perhatian meluas selama berbulan-bulan.

Ferdy Sambo yang juga bekas Ketua Hal Ehwal Dalaman Polis Indonesia dijatuhi hukuman itu di hadapan panel tiga hakim selepas menjalani perbicaraan sejak Oktober tahun lalu.

Hakim, Wahyu Iman Santoso ketika membacakan penghakiman itu berkata Sambo terbukti bersalah melakukan jenayah terbabit dalam pembunuhan terancang.

Pendakwa raya telah memohon hukuman penjara seumur hidup ke atas Sambo.

Peguam Sambo, Arman Hanis memberitahu pemberita bahawa pasukannya akan meneliti keputusan mahkamah itu, namun enggan memaklumkan sama ada bakal memfailkan rayuan.

Sebelum ini, polis dilaporkan berkata mangsa dikenali sebagai Brigedier Nopryansyah Yosua Hutabarat, 27, maut dalam insiden tembakan dengan seorang pegawai di kediaman Sambo, di sini, tahun lalu.

(Sambo dinamakan sebagai suspek selepas Hutabarat ditemukan terbunuh
di kediamannya pada Julai tahun lalu / FOTO AFP)

Ketika perbicaraan, Sambo mendakwa pembunuhan itu tidak dirancang, dan ia didorong perasaan marah kerana percaya Hutabarat telah merogol isterinya.

Namun, panel hakim menolak dakwaan itu berikutan kekurangan bukti.

Sebelum ini, Sambo dinamakan sebagai suspek selepas Hutabarat ditemukan terbunuh di kediaman bekas inspektor jeneral polis dua bintang itu pada Julai tahun lalu.

Sambo didakwa mengarahkan seorang individu orang bawahan untuk menembak Hutabarat, sebelum dirinya turut menembak mangsa yang cedera.

Dia ditahan Ogos tahun lalu dan diberhentikan daripada pasukan pada September, disusuli perbicaraan selama berbulan-bulan yang akhir membawa kepada keputusan mahkamah.

Sambo mempunyai tempoh satu minggu untuk membuat rayuan terhadap keputusan itu.

Ibu Hutabarat turut berada di mahkamah sambil memegang gambar mangsa. Ketika mahkamah membacakan keputusan, orang awam yang hadir dilihat terkejut dipercayai kerana tidak menjangka hakim akan menjatuhkan hukuman maksimum.-AFP

Media Baharu