KENTUCKY, 5 November- Sekurang-kurangnya tujuh maut dan beberapa lagi cedera selepas sebuah pesawat kargo milik syarikat UPS terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muhammad Ali Louisville, awal pagi tadi.
Kejadian itu turut menyebabkan letupan kuat dan kebakaran sejurus pesawat berkenaan berlepas.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) memaklumkan bahawa pesawat jenis McDonnell Douglas MD-11 itu dalam penerbangan menuju ke Hawaii, terhempas sekitar pukul 5:15 petang waktu tempatan.
Gabenor Kentucky, Andy Beshear, dalam sidang media berkata, beliau menjangkakan jumlah korban dan mangsa cedera akan terus meningkat.
“Pasukan penyelamat kini berada di lokasi dan sedang berusaha gigih memadamkan kebakaran serta meneruskan siasatan,” katanya dalam kemas kini di platform X.
Sementara itu, Syarikat UPS dalam satu kenyataan pula memaklumkan bahawa tiga anak kapal berada di dalam pesawat berkenaan, namun menambah bahawa “kami belum mengesahkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.”
Beshear menyatakan bahawa status ketiga-tiga anak kapal itu masih belum diketahui dan beliau amat bimbang terhadap nasib mereka.
Punca nahas masih dalam siasatan oleh FAA bersama Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSB).
Susulan insiden itu, pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Muhammad Ali Louisville mengumumkan bahawa, semua penerbangan yang dijadualkan berlepas pada malam Selasa telah dibatalkan, manakala UPS menggantung operasi penyusunan bungkusan di kemudahan mereka. -AFP