fb fb fb fb fb

Pelarian Al-Fashir kongsi detik ngeri: Saksi ribuan mayat bergelimpangan

MSF turut memberi amaran risiko penularan penyakit taun di Tawila/Foto REUTERS

TAWILA, DARFUR UTARA, 5 November - Penduduk dari bandar Al-Fashir, Sudan, menceritakan detik mengerikan ketika melarikan diri selepas bandar itu jatuh ke tangan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) minggu lalu.

Kebanyakan pelarian kini ditempatkan di Tawila, kira-kira 60 kilometer dari Al-Fashir, dan dirawat di klinik kendalian Médecins Sans Frontières (MSF) yang menampung hingga 10,000 pelarian.

Mereka yang dirawat termasuk yang cedera dan kekurangan zat makanan.

Menurut MSF, kira-kira 60,000 lagi penduduk melarikan diri ke lokasi tidak diketahui, manakala dianggarkan 200,000 orang masih terperangkap di dalam bandar yang kini mengalami kebuluran teruk selepas 18 bulan dikepung tanpa bekalan makanan.

Seorang pelarian, Fatuma Abdallah Hassan, berkata beliau menjaga tiga anak yatim selepas keluarga mereka terbunuh dalam serangan dron ketika mencari makanan.

“Anak bongsu hanya berusia 40 hari, dan kami menempuh perjalanan dengan kereta keldai di bawah kawalan RSF. Ramai yang cedera di sepanjang jalan,” katanya.

Penyelaras projek MSF, Sylvain Penicaud, berkata 170 kanak-kanak tiba tanpa penjaga dan kesemua mereka mengalami kekurangan zat makanan serius.

Anggota MSF lain, Mouna Hanebali, berkata hampir 1,000 kes trauma diterima, termasuk luka tembakan dan jangkitan akibat kekurangan ubat.

Sementara itu, seorang pesakit, Abdallah Hasaballah, mendakwa melihat lebih 1,000 mayat di sepanjang laluan keluar dari bandar, termasuk mangsa yang mati akibat kehausan, keletihan dan pendarahan.

MSF turut memberi amaran risiko penularan penyakit taun di Tawila selepas satu kes baharu dilaporkan.

Krisis kebuluran dijangka berterusan hingga awal 2026 sekiranya laluan bantuan tidak segera dibuka. - REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN