SHANGHAI, 5 November - Hubungan dua hala Malaysia dengan China diperkukuh menerusi lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke negara republik berkenaan.
Fokus lawatan empat hari yang bermula pada Selasa, tertumpu kepada kerjasama dalam bidang perdagangan, halal selain pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Langkah itu selaras komitmen bersama ke arah Era Keemasan Baharu Kerjasama Malaysia-China.
"Saya berharap lawatan kali ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh kepercayaan, memacu inovasi dan membuka peluang baharu yang akan membawa manfaat besar kepada rakyat di kedua-dua negara," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sepanjang lawatan kerja tersebut, beliau dijadual menghadiri Majlis Pembukaan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ke-8, selain merasmikan MIHAS Shanghai 2025, sebagai platform mempromosi industri halal Malaysia di pasaran global.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid turut dijadual melawat Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), yang menjadi simbol kerjasama erat antara komuniti perniagaan Malaysia dan China.
Semasa lawatan tersebut, beliau akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) membabitkan agensi dan syarikat Malaysia dengan pemain industri di China.