WASHINGTON, 5 November- Senat Amerika Syarikat (AS) sekali lagi gagal meluluskan rang undang-undang pembiayaan sementara pada Selasa, menandakan kegagalan ke-14 usaha berkenaan, lapor Xinhua.
Kegagalan itu menjadikan penutupan kerajaan persekutuan kini di landasan untuk memecah rekod 35 hari yang dicatat semasa penutupan 2018-2019, sekali gus berpotensi menjadi yang terpanjang dalam sejarah Amerika Syarikat.
Senat yang dikuasai Parti Republikan mengundi 54-44 terhadap resolusi sementara yang diluluskan Dewan Perwakilan, yang bertujuan membiayai kerajaan pada tahap semasa sehingga 21 Nov.
Rang undang-undang itu memerlukan sekurang-kurangnya 60 undi bagi melepasi penentangan dan diteruskan ke peringkat seterusnya.
Penutupan kerajaan yang berterusan itu terus menjejaskan pelbagai sektor termasuk penerbangan, bantuan makanan dan perkhidmatan kesihatan, dengan kesannya kian meluas serta memberi tekanan besar terhadap ekonomi dan kehidupan rakyat.
Menurut laporan Pejabat Belanjawan Kongres (CBO), sekiranya penutupan itu berlarutan selama lapan minggu, ia boleh menelan kos ekonomi AS sebanyak US$14 bilion.
Sementara itu, kedua-dua parti utama terus saling menyalahkan antara satu sama lain atas kebuntuan yang berlaku.
Sementara itu, program bantuan makanan utama negara turut terjejas. Selepas dua hakim persekutuan campur tangan, pentadbiran Trump pada Isnin mengumumkan penggunaan dana kecemasan untuk mengekalkan separuh daripada manfaat Program Bantuan Makanan Tambahan (SNAP) bagi bulan ini, sambil memberi amaran bahawa sesetengah negeri mungkin mengambil masa berminggu atau berbulan untuk menyambung semula agihan penuh.
Bagaimanapun, Presiden Donald Trump pada Selasa menegaskan di media sosial bahawa manfaat SNAP “hanya akan diberikan apabila Demokrat membuka semula kerajaan, sesuatu yang boleh mereka lakukan dengan mudah dan tidak sebelum itu.”
Program SNAP meliputi kira-kira 42 juta rakyat Amerika, iaitu satu perlapan daripada jumlah penduduk negara itu, kebanyakannya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah. -BERNAMA-XINHUA