HANOI, 31 Oktober- Hujan tanpa henti selama berhari-hari di tengah dan utara Vietnam menyebabkan jalan raya dan kediaman dinaiki air.
Tiga orang turut maut dipercayai dihanyutkan arus deras, kata pihak berkuasa pengurusan bencana Selasa.
Akses kepada beberapa komuniti di wilayah tengah Ha Tinh telah terputus, manakala polis dan tentera telah digerakkan untuk menyelamatkan orang ramai dari kawasan berisiko tinggi.
Seorang wanita dan budak lelaki berusia 13 tahun ditemui mati di wilayah itu selepas dihanyutkan arus deras.
Sementara itu, pencarian seorang wanita berusia 29 tahun yang masih hilang, juga di Ha Tinh, sedang dijalankan, kata jabatan kawalan banjir dan ribut dalam laporan terbarunya.
Beratus-ratus rumah, tanaman dan bahagian lebuh raya dan kereta api yang menghubungkan utara dan selatan Vietnam telah ditenggelami air.
Di wilayah utara Cao Bang, yang bersempadan dengan China, seorang lelaki terbunuh apabila sebatang pokok besar tumbang ke rumahnya dalam hujan lebat.
Vietnam sering dilanda cuaca buruk pada musim hujan antara Jun dan November.
Bencana alam termasuk banjir dan tanah runtuh telah menyebabkan 136 orang mati atau hilang di negara itu sejak awal tahun, menurut Pejabat Perangkaan Am.
Lebih 21,000 rumah telah rosak, dengan lebih 140,000 hektar tanaman musnah.
Para saintis telah memberi amaran kejadian cuaca ekstrem di seluruh dunia menjadi lebih buruk dan kerap disebabkan oleh perubahan iklim.-AFP