BEIJING, 5 Mei – Kira-kira tiga individu dilaporkan maut manakala 14 lagi masih hilang selepas dua bot pelancong terbalik di sebuah sungai di kawasan pelancongan di bandar Qianxi, wilayah Guizhou, barat daya China, pada Ahad.
Menurut laporan Xinhua, seramai 60 mangsa yang cedera kini dirawat di hospital berhampiran.
Manakala operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa.
Setakat ini, pihak berkuasa belum mengeluarkan butiran lanjut mengenai punca kejadian atau jenis kawasan pelancongan yang terlibat.
Presiden China, Xi Jinping, dalam kenyataan pada Ahad, mengarahkan agar usaha sepenuhnya dalam memastikan keselamatan mangsa.
“Keselamatan pengunjung harus menjadi keutamaan di setiap kawasan pelancongan dan tempat awam berskala besar,” tegas beliau seperti dipetik Xinhua.
Sementara itu, Naib Perdana Menteri, Zhang Guoqing, telah dihantar ke lokasi bagi memantau operasi menyelamat.
Untuk rekod, insiden ini berlaku kira-kira dua bulan selepas kejadian bot bertembung dengan kapal industri di wilayah Hunan yang menyebabkan 11 orang terkorban dan 19 individu terjatuh ke dalam sungai. - AFP