fb fb fb fb fb

Tiga anggota keselamatan terkorban dalam letupan di Iraq

FOTO HIASAN

BAGHDAD, 17 November- Tiga anggota pasukan keselamatan Iraq terbunuh manakala tiga yang lain cedera selepas satu bom meledak di wilayah utara Salaheddin.

Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab secara langsung atas serangan di Tuz Khurmatu, yang terletak bersempadan dengan wilayah yang sering dilanda serangan kumpulan pengganas.

Iraq mengisytiharkan kemenangan ke atas kumpulan pengganas Islamic State (IS) pada penghujung 2017, namun anggotanya masih aktif di negara itu, terutamanya di kawasan luar bandar.

Letupan pada Ahad itu membunuh seorang komander rejimen tentera, seorang pegawai dan seorang anggota perkhidmatan keselamatan, kata Zulfiqar al-Bayati, Datuk Bandar Tuz Khurmatu.

Seorang pegawai keselamatan mengesahkan angka korban kepada AFP, menambah bahawa mangsa berada dalam sebuah kenderaan ketika letupan berlaku.

Mereka yang terbunuh adalah anggota pasukan Peshmerga dari wilayah autonomi Kurdistan di utara, manakala yang cedera adalah anggota tentera Iraq.

Kementerian pertahanan Iraq memberi penghormatan kepada tiga tentera yang "terkorban sebagai syuhada semasa menjalankan tugas mereka".

Kumpulan IS menawan sebahagian besar wilayah Iraq dan Syria yang berdekatan pada tahun 2014, mengisytiharkan "khalifah" mereka dan memulakan pemerintahan keganasan.

Mereka dikalahkan di Iraq pada 2017 oleh pasukan tentera negara itu yang disokong oleh koalisi ketenteraan yang diketuai AS, dan pada 2019 kehilangan wilayah terakhir yang mereka pegang di Syria kepada pasukan Kurdish yang disokong AS.

Sebuah laporan oleh pakar-pakar Pertubuhan Bangsa Bersatu yang diterbitkan pada bulan Julai menganggarkan terdapat kira-kira 1,500 hingga 3,000 anggota pengganas yang masih tinggal di Iraq dan Syria.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE