fb fb fb fb fb

Arab Saudi laksana 100 hukuman mati terhadap warga asing tahun ini

FOTO HIASAN

DUBAI, 17 November- Arab Saudi telah melaksanakan hukuman mati terhadap lebih 100 warga asing sepanjang tahun ini.

Menurut kiraan AFP, angka itu menunjukkan peningkatan ketara, yang digambarkan oleh sebuah kumpulan hak asasi sebagai tidak pernah berlaku sebelum ini.

Hukuman mati terbaharu dilaksana pada Sabtu di wilayah Najran, barat daya negara itu, membabitkan seorang warga Yaman yang disabitkan kesalahan menyeludup dadah, menurut laporan Agensi Berita Saudi (SPA).

Ini menjadikan jumlah warga asing yang dihukum mati pada 2024 kepada 101, berdasarkan laporan media kerajaan. Angka tersebut hampir tiga kali ganda berbanding 2023 dan 2022, apabila 34 warga asing dihukum mati setiap tahun.

Organisasi Hak Asasi Manusia Eropah-Saudi (ESOHR) yang berpangkalan di Berlin berkata jumlah hukuman mati tahun ini telah memecahkan rekod.

"Ini adalah jumlah hukuman mati warga asing terbesar dalam setahun. Arab Saudi tidak pernah melaksanakan hukuman mati terhadap 100 warga asing dalam satu tahun," kata Taha al-Hajji, pengarah undang-undang ESOHR.

Arab Saudi sering dikritik atas pelaksanaan hukuman mati yang dilihat berlebihan, terutamanya ketika ia berusaha memperbaiki imejnya untuk menarik pelancong dan pelabur antarabangsa.

Pada 2023, Amnesty International melaporkan Arab Saudi berada di kedudukan ketiga tertinggi di dunia selepas China dan Iran dalam jumlah hukuman mati.

Pada September, AFP melaporkan bahawa Arab Saudi telah mencatatkan jumlah hukuman mati tertinggi dalam lebih tiga dekad, melebihi rekod sebelumnya iaitu 196 pada 2022 dan 192 pada 1995.

Hingga kini, jumlah keseluruhan hukuman mati pada 2024 telah mencecah 274 orang, berdasarkan kiraan AFP.

Warga asing yang dihukum mati tahun ini termasuk 21 dari Pakistan, 20 dari Yaman, 14 dari Syria, 10 dari Nigeria, sembilan dari Mesir, lapan dari Jordan, dan tujuh dari Ethiopia.

Terdapat juga tiga orang masing-masing dari Sudan, India, dan Afghanistan, serta seorang masing-masing dari Sri Lanka, Eritrea, dan Filipina.

Hukuman mati berkaitan dadah, yang kembali dilaksanakan selepas moratorium tiga tahun berakhir pada 2022, telah menyumbang kepada peningkatan itu.

Tahun ini sahaja, 92 hukuman mati berkaitan dadah telah direkodkan, termasuk 69 warga asing.

Diplomat dan aktivis menyatakan bahawa warga asing sering menghadapi halangan lebih besar untuk mendapatkan perbicaraan yang adil, termasuk akses kepada dokumen mahkamah.

"Warga asing adalah kumpulan paling rentan," kata Hajji dari ESOHR, sambil menambah mereka sering menjadi mangsa sindiket dadah besar dan mengalami pelanggaran hak dari saat penangkapan hingga pelaksanaan hukuman mati.

Hukuman mati di Arab Saudi biasanya dilaksanakan melalui pemenggalan kepala, walaupun kenyataan rasmi jarang menyebut kaedah tersebut.

Kenyataan itu bertentangan dengan dakwaan Putera Mahkota Mohammed bin Salman pada 2022, yang mengatakan hukuman mati hanya dilaksanakan untuk kes pembunuhan atau ancaman kepada ramai nyawa.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE