BOGOTÁ, 2 Mei- Colombia memutuskan hubungan diplomatiknya dengan Israel susulan tindakan genosid di Gaza yang membunuh lebih 34,000 orang sejak perang bermula pada 7 Oktober tahun lalu.
"Esok (hari ini) hubungan diplomatik dengan Israel akan terputus kerana mereka mempunyai pemimpin (Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu) yang melakukan pembunuhan beramai-ramai," kata Presiden Gustavo Petro pada perhimpunan May Day di sini, semalam.
Jelasnya, kekejaman Israel tidak lagi boleh diterima dunia yang disifatkan beliau sebagai "pemusnah seluruh rakyat Gaza."
"Jika Palestin musnah, maka nilai kemanusian akan mati," tegasnya disambut tepukan gemuruh.
Sementara itu, kumpulan pejuang Hamas memuji langkah terbaharu Colombia sebagai satu kemenangan bagi rakyat Gaza.
"Kami amat menghargai kedudukan Presiden Colombia, Gustavo Petro... yang kami anggap sebagai kemenangan atas pengorbanan dan perjuangan rakyat (Gaza) selama ini," menurut Hamas dalam satu kenyataan sambil menggesa negara Amerika Latin lain untuk mengikuti tindakan Colombia.
Colombia telah menyertai Bolivia, Belize dan Afrika Selatan dalam memutus atau menggantung hubungan dengan Israel, manakala beberapa negara lain juga memanggil balik diplomat masing-masing.
Terdahulu, Petro juga telah tampil menyokong Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dengan mengatakan kempen Israel di Gaza "bukan perang, tetapi pembunuhan beramai-ramai."
Colombia dan Brazil turut menyokong aduan Afrika Selatan terhadap Israel kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague, dengan mendakwa serangan di Gaza adalah melanggar Konvensyen Genosid. -AFP