fb fb fb fb fb

Polis Turkiye tahan penunjuk perasaan, halang perhimpunan di Dataran Taksim

Polis Turkiye menahan penunjuk perasaan ketika mereka cuba berarak ke Dataran Taksim/AFP

ISTANBUL, 1 Mei- Berpuluh-puluh penunjuk perasaan yang cuba merobohkan sekatan di beberapa daerah Istanbul ditahan selepas pihak berkuasa mengharamkan perhimpunan pada 1 Mei di Dataran Taksim di bandar itu.

Puluhan ribu polis dikerahkan ke seluruh Istanbul dan mengadakan sekatan dalam usaha menghalang kumpulan penunjuk perasaan daripada berkumpul.

Pihak berkuasa telah mengharamkan perhimpunan di Dataran Taksim yang menentang kerajaan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Polis Turkiye menahan sekurang-kurangnya 30 penunjuk perasaan yang berhaluan kiri di daerah Besiktas, yang menjerit 'Taksim tidak boleh diharamkan' lapor seorang wartawan AFP di tempat kejadian. Manakala, 30 orang lagi ditahan di daerah Sisli.

Sementara itu, jalan-jalan utama di seluruh Istanbul ditutup kepada lalu lintas, manakala perkhidmatan pengangkutan awam termasuk feri dan kereta api bawah tanah dihentikan.

Parti pembangkang utama Turki CHP dan kesatuan telah mendesak kerajaan untuk membuka dataran untuk perhimpunan buruh. Bagaimanapun, Presiden Erdogan memberi amaran pada hari Selasa terhadap sebarang provokasi.

Pemimpin CHP Ozgur Ozel, diiringi Datuk Bandar Istanbul Ekrem Imamoglu dan kesatuan pekerja, berkumpul di kejiranan Sarachane yang menempatkan dewan bandar raya itu.

"Kami akan terus berjuang sehingga Taksim bebas," kata Ozel.

Pada 2023, mahkamah perlembagaan tertinggi Turkiye memutuskan bahawa penutupan Dataran Taksim untuk protes adalah satu pencabulan hak.-AFP

ROSLINA BINTI DIN