GENEVA, 31 Mei- Penyebaran cacar monyet selain negara di benua Afrika ketika ini tidak semestinya bermakna ia akan menjadi pandemik global.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan, tidak ada sebab untuk berasa panik terhadap virus yang menyebabkan penyakit teruk itu kerana penghidapnya boleh pulih dalam tempoh beberapa minggu.
Pakar cacar monyet WHO, Dr Rosamund Lewis berkata, pihaknya tidak terlalu bimbang mengenai ancaman virus berkenaan.
Namun jelas beliau, adalah penting untuk mengambil langkah pantas bagi mengekang penyebarannya.
(Pakar cacar monyet WHO, Dr Rosamund Lewis/ REUTERS)
Penyakit cacar monyet membunuh berjuta-juta penduduk di seluruh dunia setiap tahun sebelum ia dihapuskan pada 1980.
Bagaimanapun, cacar monyet kurang teruk berbanding penyakit cacar dan kebanyakan penghidapnya akan pulih dalam masa tiga hingga empat minggu.
Gejala awal penyakit cacar monyet adalah demam panas, kelenjar limfa bengkak dan kesan melepuh ruam seperti yang dihidapi penghidap cacar air.
Sejak Britain melaporkan kes pertama cacar monyet yang disahkan 7 Mei lalu, hampir 400 kes yang disyaki atau disahkan dilapor kepada WHO di sekitar 24 negara di mana virus itu bukan endemik. -AFP