fb fb fb fb fb

Tiada tanda mangsa runtuhan jambatan Baltimore boleh selamat

FOTO AFP

BALTIMORE, 27 Mac- Pencarian enam mangsa yang hilang dalam kejadian runtuhan jambatan utama di bandar sini, Amerika Syarikat (AS) selepas dirempuh sebuah kapal kontena semalam dihentikan sementara.

"Berdasarkan tempoh masa yang kami lakukan dalam pencarian ini (dan) usaha pencarian yang meluas yang kami lakukan (serta) suhu air (sejuk) pada ketika ini, kami tidak percaya bahawa kami akan menemukan mana-mana individu ini masih hidup," kata Laksamana Muda Pengawal Pantai AS, Shannon Gilreath pada sidang media.

Kesemua enam mangsa terbabit dikenal pasti sebagai anggota krew pembinaan yang sedang membaiki jalan berlubang di Jambatan Francis Scott Key ketika kejadian berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi waktu tempatan.

"Kami akan beralih daripada bahagian mencari dan menyelamat kepada operasi pemulihan," kata Roland Butler, Setiausaha Polis Negara Maryland.

Beliau berkata, suhu dan arus menyukarkan penyelam untuk terus bekerja di bawah air, bagaimanapun bot penyelamat masih akan meneruskan rondaan.

Sementara itu, pengurus kapal Dali tersebut yang membawa bendera Singapura memaklumkan punca pelanggaran itu masih disiasat.

"Kami akan bekerjasama sepenuhnya dengan agensi persekutuan dan negeri AS. Kesemua kru kapal Dali yang dalam perjalanan menuju ke Colombo di Sri Lanka disahkan selamat," ujarnya. -AFP

ARTIKEL BERKAITAN
Jambatan utama Baltimore runtuh dilanggar kapal kontena

SITI AISHAH MD ISA