WASHINGTON, 26 Mac- Sebuah jambatan utama di bandar Baltimore, Amerika Syarikat (AS) runtuh selepas sebuah kapal terlanggar binaan berkenaan, hari ini.
Kejadian itu menyebabkan kira-kira 20 orang serta beberapa kenderaan terjunam ke dalam air di bawah jambatan terbabit.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan sebuah kapal kontena melanggar tapak jambatan Francis Scott Key sehingga menyebabkan keseluruhan struktur binaan keluli itu runtuh ke Sungai Patapsco.
"Malangnya, kami difahamkan terdapat sehingga 20 individu yang mungkin berada di Sungai Patapsco sekarang serta beberapa kenderaan.
"Kami difahamkan berkemungkinan terdapat kenderaan, treler traktor atau kenderaan sebesar treler traktor di atas jambatan pada masa ia runtuh.
"Satu tindak balas kecemasan bertindak selepas perlanggaran, yang berlaku sekitar pukul 1.30 pagi (waktu tempatan), dengan kenderaan respons pertama memenuhi persisiran pantai," kata Kevin Cartwright dari Jabatan Bomba Baltimore kepada CNN.
Penyelam berada di dalam air mencari mangsa yang terselamat, kata Cartwright, dengan kini menghampiri suhu beku.
Dalam pada itu, Pesuruhjaya Polis Baltimore, Richard Worley memaklumkan bahawa insiden berkenaan tidak melibatkan sebarang unsur keganasan.
"Serangan keganasan bukan menjadi faktor runtuhnya tiang sokongan jambatan utama di AS selepas ia dirempuh kapal kontena,” katanya.
Sementara pengurus kapal Dali tersebut yang membawa bendera Singapura memaklumkan punca pelanggaran itu masih disiasat.
"Kami akan bekerjasama sepenuhnya dengan agensi persekutuan dan negeri AS. Kesemua kru kapal Dali yang dalam perjalanan menuju ke Colombo di Sri Lanka disahkan selamat," ujarnya. -AFP