fb fb fb fb fb

Kereta kebal Israel kepung Hospital di Khan Yunis

Foto Reuters

GAZA, 27 Mac -Beberapa saksi berkata kereta kebal dan perisai Israel dilihat mengepung hospital Nasser di Khan Yunis pada Selasa.

Menurut saksi yang berada di hospital berkenaan berkata pihak Israel melepaskan tembakan ke arah hospital berkenaan, namun tiada sebarang serbuan dilaporkan.

Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas berkata tentera Israel melepaskan tembakan dan melaksanakan serbuan di sekitar kawasan hospital berkenaan sebagai persediaan menyerbu ke dalam hospital terbabit.

"Beribu-ribu orang yang kehilangan tempat tinggal masih berada di dalam hospital," kata kementerian itu.

"Mereka tidak mempunyai bekalan air, makanan dan susu formula bayi yang mencukupi, dan nyawa mereka dalam bahaya", kata seorang jurucakap kementerian berkenaan.

Sementara itu, Pertubuhan Bulan Sabit Palestin pada Selasa berkata salah sebuah hospital iaitu Al-Amal yang turut berada berhampiran hospital Nasser telah menghentikan perkhidmatannya selepas tentera Israel mengosong dan menyekat pintu masuk hospital berkenaan.

Pertubuhan tersebut dalam satu kenyataan berkata "masyarakat antarabangsa gagal memberikan perlindungan yang diperlukan" untuk kakitangan, pesakit dan penduduk Gaza yang dipindahkan dan berlindung di Hospital Al-Amal.

Persekutuan Persatuan Palang Merah Palestin dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) berkata hospital itu telah dijadikan "medan pertempuran dan sepatutnya ia menjadi tempat perlindungan".

"Penutupan paksa Hospital Al-Amal, yang merupakan salah satu daripada beberapa kemudahan perubatan yang masih tinggal di selatan, mempunyai implikasi dan akan menyebabkan banyak nyawa berisiko," kata IFRC dalam satu kenyataan.

Pada Isnin lalu, tentera Israel dilaporkan telah membunuh kira-kira 20 pejuang Palestin.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD