fb fb fb fb fb

Brazil dan Perancis lancar program lindungi Hutan Hujan Amazon

Foto Reuters

BELEM, 27 Mac - Brazil dan Perancis pada Selasa telah melancarkan program pelaburan bernilai €1 bilion Euro bagi melindungi hutan hujan Amazon di Guyana dan Brazil menerusi dana awam dan persendirian bagi tempoh empat tahun.

Pengumuman tersebut dibuat ketika lawatan selama tiga hari Presiden Perancis, Emmanuel Macron ke negara Amerika Selatan semalam (Selasa).

Macron dilaporkan mendarat di Belem, sebuah lokasi yang dianggap sebagai mulut Amazon. Macron turut bertemu Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.

Dalam pertemuan berkenaan, kedua-dua pemimpin telah bersepakat mengeluarkan kenyataan bersama bagi saling bekerjasama melindungi hutan hujan Amazon bagi kepentingan global.

"Berkumpul di Belem di Lembah Amazon, kami Brazil dan Perancis serta negara Amazon telah mengambil keputusan untuk membentuk kumpulan bagi mempromosi pelan halatuju bagi melindungi hutan tropika", kata kenyataan bersama itu lagi.

Perjanjian itu turut menyentuh kerjasama bagi menghentikan aktiviti penebangan hutan di Amazon menjelang 2030.

"Presiden kedua-dua negara turut memberikan komitmen bagi memelihara, memulihara dan pemulihan mampan hutan tropika dunia dan bersetuju untuk mengusahakan agenda bagi membangunkan instrumen kewangan yang inovatif, mekanisme pasaran dan pembayaran untuk perkhidmatan alam sekitar," kata kenyataan itu.

Macron dan Lula kemudiannya dilaporkan menaiki bot untuk melawat projek membuat coklat di sebuah pulau berhampiran Belem,dan turut bertemu dengan pemimpin orang asli.

Pada majlis tersebut, Macron memberi penghormatan dengan penganugerahan bintang 'National Order of the Legion of Honor' kepada pemimpin Orang Asli dan aktivis alam sekitar Raoni Metuktire atas perjuangannya untuk melindungi Amazon dan hak Orang Asli.

Hubungan antara Perancis dan Brazil telah pulih berbanding pada 2019 apabila Macron mengetuai gelombang tekanan antarabangsa terhadap bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro berhubung kebakaran besar di Amazon.

"Selepas hubungan politik suram antara kedua-dua negara semasa era presiden Bolsonaro,kami sedang dalam proses melancarkan semula hubungan dua hala dan perkongsian strategik dengan Brazil," kata seorang penasihat presiden Perancis pada Jumaat.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD