fb fb fb fb fb

Tiada sekatan dikenakan AS ke atas penjualan peralatan ladang ke Rusia

(Petani menuai gandum, di tengah-tengah serangan Rusia ke atas Ukraine, di wilayah Donbas, Ukraine 13 Julai 2022/REUTERS)

WASHINGTON, 15 Julai- Amerika Syarikat berkata Khamis bahawa ia tidak akan menghalang penjualan peralatan ladang kepada Rusia, sekali gus menafikan dakwaan Moscow bahawa sekatan Barat bukan pencerobohannya ke atas Ukraine yang menjadi punca kepada krisis makanan global.

Jabatan Perbendaharaan dalam satu kenyataan menyebut, ia tidak akan menghentikan urus niaga AS berkaitan pengeluaran, penjualan atau pengangkutan peralatan pertanian.

Selaras dengan peraturan yang ditetapkan selepas pencerobohan 24 Februari, Jabatan Perbendaharaan juga tidak melarang komoditi pertanian seperti baja serta alat perubatan dan ujian saringan COVID-19.

"Pengecualian tersebut menunjukkan bahawa sekatan AS ke atas Rusia yang dikuatkuasakan sebagai tindak balas kepada perang di Ukraine tidak menghalang perdagangan pertanian dan perubatan," menurut kenyataan itu.

"Peperangan tersebut telah menjejaskan pengeluaran makanan dan pertanian.

"Presiden Rusia, Vladimir Putin telah menggunakan makanan sebagai senjata perang dengan memusnahkan kemudahan penyimpanan, pemprosesan dan ujian pertanian; mencuri bijirin dan peralatan ladang; dan menyekat pelabuhan Laut Hitam," katanya.

(Sebuah trak dilihat di terminal bijirin semasa penuaian barli di wilayah Odesa, ketika
serangan Rusia ke atas Ukraine berterusan, Ukraine 23 Jun 2022/REUTERS)

Pengecualian itu diumumkan selepas terdapat tanda-tanda kemajuan yang jarang berlaku antara Rusia dengan Ukraine semasa rundingan di Turki mengenai kebenaran menghantar bekalan dari Ukraine yang merupakan pengeksport penting gandum dan bijirin lain.

Penghantaran merentasi Laut Hitam telah disekat oleh kapal perang Rusia dan periuk api yang dipasang Kiev untuk mengelakkan serangan kenderaan amfibia.

Kekurangan makanan telah meningkatkan risiko kebuluran bagi berpuluh-puluh juta orang di Afrika dan negara-negara miskin yang lain.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken baru-baru ini berkata tindakan Rusia menyebabkan kekacauan di Sri Lanka, yang presidennya melarikan diri dan meletak jawatan di tengah-tengah bantahan besar-besaran berikutan bekalan makanan dan bahan bakar yang semakin berkurangan. -AFP

 

Media Baharu