fb fb fb fb fb

Kapal GSF diserang dron di perairan Greece

Maria Kosmidi

ATHENS, 24 September - Sukarelawan dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), Maria Kosmidi, 30 tahun, mendedahkan kapal yang dinaikinya berdepan aktiviti mencurigakan.

Menurut Maria, puluhan dron menghampiri kapal berkenaan yang dalam perjalanan menuju Gaza.

"Sekitar pukul 7.30 malam semalam, kami mengesan aktiviti luar biasa berhampiran kapal kami yang ketika itu agak ketinggalan daripada konvoi flotila lain. Dron berulang kali terbang dekat dengan kapal, dengan jumlah lebih 13 buah.

"Kira-kira pukul 1.30 pagi, serangan ke atas kapal lain dalam flotilla bermula dan berlarutan sehingga sekitar pukul 4.00 pagi. Serangan itu melibatkan penggunaan bom tangan gegar dan bahan letupan," katanya.

Menurut Maria, tiada sukarelawan flotilla yang cedera dalam kejadian itu. Bagaimanapun, pihak mereka tidak dapat mengesahkan siapa mengendalikan dron berkenaan.

"Ketika kejadian, kami berada dalam zon carilamat Greece. Serangan ini telah dilaporkan kepada pihak berkuasa Greece, tetapi mereka menyatakan tidak akan campur tangan kecuali ada mangsa cedera," ujarnya lagi.

Maria turut memaklumkan bahawa ketika ini anggota flotilla sedang cuba menaiki sebuah kapal lain untuk menuju ke Gaza.

"Kami mendesak badan antarabangsa dan organisasi berkaitan supaya campur tangan dan menjamin keselamatan kami. Sokongan awam dan kerajaan amat diperlukan," katanya.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI