ATHENS, 24 September - Aktivis yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) menolak agar bantuan kemanusiaan disalurkan melalui Marina Ashkelon sebelum dipindahkan ke Gaza.
Rakaman pada Isnin menunjukkan beberapa kapal flotila berkumpul sebentar di perairan antarabangsa berhampiran Greece untuk mengisi semula bekalan sebelum meneruskan pelayaran ke Gaza.
"Selepas 18 tahun sekatan jenayah terhadap Gaza dan tidak membenarkan bantuan kemanusiaan masuk, cadangan ini hanya boleh dianggap sebagai satu gurauan.
"Israel, wilayah yang menggunakan kebuluran sebagai senjata perang, tidak mungkin benar-benar menyampaikan bantuan itu kepada rakyat yang memerlukan. Kami tidak mempercayainya," kata seorang aktivis.
Seorang aktivis dari Mexico, Sol Gonzalez, yang berada di atas kapal Adara, mendakwa tindakan Israel itu dilihat sebagai 'perangkap maut' kepada rakyat Palestin.
"Kami tidak mempercayai Israel untuk melaksanakan ini. Ia bukanlah cadangan yang boleh dirunding. Kami menuju ke Gaza, dan bantuan ini adalah untuk Gaza. Ia mesti diserahkan terus kepada penduduk," tegasnya.
Pada Rabu, wakil misi kemanusiaan GSF melaporkan berlaku beberapa letupan dron ketika kapal mereka belayar berhampiran pantai Greece. Minggu lalu, mereka turut mendakwa dua kapal diserang dron berhampiran Tunisia.
Kementerian Dalam Negeri Tunisia menyidatkjan serangan dari rejim Zionis itu sebagai 'serangan terancang.'- VIORY