fb fb fb fb fb

14 maut, 129 hilang akibat limpahan tasik di bandar Guangfu

Keadaan di bandar Guangfu, timur Taiwan selepas limpahan tasik memasuki kawasan bandar/ REUTERS

HUALIEN, 24 September - Penduduk di bandar Guangfu, timur Taiwan terpaksa meredah lumpur separas buku lali dan pulang ke kediaman yang terjejas pada Rabu, sehari selepas paras air melepasi penghalang tasik lalu membanjiri kawasan berkenaan.

Halangan pada tasik berkenaan terbentuk akibat tanah runtuh susulan hujan lebat di wilayah timur pulau yang jarang berpenduduk, sebelum pecah pada petang Selasa. Akibat kejadian itu, limpahan air terus memasuk bandar Guangfu.

Menurut pegawai bomba, 14 mangsa maut manakala 129 lagi dilaporkan hilang, kesemuanya dari Guangfu. Kejadian itu turut menghanyutkan jambatan utama merentasi sungai.

Pasukan penyelamat dari seluruh Taiwan digerakkan ke Hualien, dengan pihak tentera menghantar 340 anggota untuk membantu. Anggota tentera menggunakan kenderaan berperisai bagi mengelak lumpur tebal di jalan turut mengedarkan air minuman dan mi segera dari rumah ke rumah.

Kerajaan Taiwan memaklumkan, limpahan tasik itu melepaskan kira-kira 60 juta tan air daripada anggaran keseluruhan 91 juta tan, bersamaan jumlah yang mampu mengisi kira-kira 36,000 kolam renang bersaiz Olimpik.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI