fb fb fb fb fb

Malaysia kecam ancaman keselamatan GSF

Foto Reuters

KUALA LUMPUR, 25 September - Malaysia mengecam tindakan terbaharu yang mengancam keselamatan Global Sumud Flotilla (GSF) dan menuntut agar segala ancaman keselamatan dihentikan serta merta.

Menurut Kementerian Luar, Malaysia turut menuntut laluan tanpa halangan bagi para peserta dan kapal flotila agar dijamin selamat.

"Malaysia menegaskan bahawa Global Sumud Flotilla, sebuah misi kemanusiaan aman untuk menyampaikan bantuan segera ke Gaza, adalah sah di sisi undang-undang.

"Ia amat penting memandangkan berlakunya genosid dan kebuluruan berterusan di Wilayah Palestin," demikian tegas Wisma Putra menerusi kenyataan di laman Facebook.

Kenyataan tersebut turut menyatakan bahawa Malaysia berdiri teguh bersama Palestin dan sekali lagi menegaskan bagi menamatkan segera genosid serta sekatan haram ke atas Gaza.

"Sehingga kini, seramai 34 peserta Malaysia dalam flotilla tersebut dilaporkan berada dalam keadaan selamat," katanya.

Terdahulu, media melaporkan kapal flotilla berkenaan diserang puluhan dron, letupan serta gangguan komunikasi ketika dalam pelayaran menghampiri perairan Gaza.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID