fb fb fb fb fb

Tiada negara lain selain Iceland bersedia untuk ancaman gunung berapi - PM Iceland

Seorang anggota perkhidmatan kecemasan berjalan berhampiran rekahan di seberang jalan utama di Grindavik, barat daya Iceland berikutan gempa bumi / Foto AFP

REYKJAVIK, 19 November - Tiada negara lain selain Iceland yang lebih bersedia menghadapi gunung berapi dan bencana alam lain, kata Perdana Menterinya pada Sabtu, ketika pihak berkuasa bersiap sedia menghadapi potensi letusan lahar di barat daya ibu kota Reykjavik.

Kira-kira 4,000 penduduk Grindavik, sebuah pelabuhan nelayan sekitar 40 kilometer dari ibu negara, telah dipindahkan pada 11 November selepas magma beralih di bawah kerak bumi menyebabkan ratusan gempa bumi sekaligus menyebabkan letusan gunung berapi.

Beribu-ribu gegaran kecil telah menggegarkan kawasan di sepanjang semenanjung Reykjanes, dengan beberapa rumah dan struktur lain mengalami kerosakan teruk.

"Tiada negara yang lebih bersedia menghadapi bencana alam selain Iceland. Kami mempunyai pengalaman panjang dalam menangani letusan gunung berapi.

"Kami tahu bahawa ia tidak semestinya keputusan yang baik untuk membina contohnya mekanisme pertahanan apabila anda mempunyai ketidakpastian yang begitu besar di mana letusan boleh berlaku," kata Perdana Menteri, Katrin Jakobsdottir pada sidang media.

Semenanjung Reykjanes tidak pernah mengalami letusan selama lapan abad sehingga 2021.

Sejak itu, tiga letusan telah melanda dan kesemuanya berlaku di kawasan terpencil yang tidak berpenghuni.

Ahli gunung berapi berkata ini boleh menjadi permulaan kepada era baharu aktiviti di rantau itu.

Itu telah menimbulkan prospek bahawa penduduk mungkin tidak dapat kembali ke rumah mereka dalam masa terdekat.

"Keutamaan kami adalah memastikan bahawa mereka mempunyai gaji yang mencukupi dan mencari perumahan yang sesuai untuk mereka untuk minggu atau bulan akan datang.

“Kami telah mencadangkan rang undang-undang untuk parlimen bagi memastikan gaji untuk tiga bulan akan datang dan sedang berusaha secepat yang boleh untuk memastikan perumahan yang sesuai untuk mereka,” kata Jakobsdottir.

Iceland merupakan rumah kepada 33 sistem gunung berapi yang aktif, jumlah tertinggi di Eropah dan bandar-bandar yang telah dilanda sebelum ini.

Negara itu berada dalam kegelisahan sejak minggu lalu, menunggu potensi letusan berhampiran Grindavik.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN