WASHINGTON, 19 November- Gaza dan Tebing Barat perlu disatukan semula di bawah Pihak Berkuasa Palestin yang baharu, kata Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden ketika ditanya mengenai masa depan rantau itu jika Israel mencapai matlamat menumpaskan Hamas.
"Kita berusaha untuk keamanan, Gaza dan Tebing Barat harus disatukan semula di bawah struktur tadbir urus tunggal, akhirnya di bawah Pihak Berkuasa Palestin yang diwujudkan semula, sambil kita semua berusaha ke arah penyelesaian dua negara," tulis Biden dalam artikel yang diterbitkan dalam The Washington Post.
Washington selaku sekutu utama Israel telah memberikan sokongan penuh kepada tindak balas rejim itu terhadap serangan mengejut 7 Oktober oleh Hamas.
Kempen ketenteraan Israel di Gaza terus meningkat apabila lebih 12,300 orang, termasuk lebih daripada 5,000 kanak-kanak terbunuh, menurut kerajaan Hamas.
AS telah menyuarakan kebimbangan mengenai kaedah serangan itu, dan menimbulkan persoalan sejak sekian lama mengenai masa depan wilayah itu sebaik sahaja Hamas dikalahkan.
"Penyelesaian dua negara adalah satu-satunya cara untuk memastikan keselamatan jangka panjang rakyat Israel dan Palestin," katanya.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak menolak rancangan Biden, tetapi berkata Pihak Berkuasa Palestin "dalam bentuknya sekarang tidak mampu menerima tanggungjawab untuk Gaza."
Presiden Palestin, Mahmud Abbas tidak mengutuk serangan Hamas dan menteri kanannya meraikannya, kata Netanyahu.
"Kita tidak boleh mempunyai pihak berkuasa awam di Gaza yang menyokong keganasan, menggalakkan keganasan, membayar keganasan dan mengajar keganasan," katanya pada sidang akhbar.
Abbas, sementara itu, merayu kepada Biden untuk menggunakan "pengaruh ketara" ke atas Israel "untuk campur tangan segera bagi menghentikan malapetaka kemanusiaan, pembunuhan beramai-ramai ini terhadap rakyat yang tidak bersalah."
Dalam suratnya, Biden turut mengancam sekatan terhadap peneroka yang melakukan keganasan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat di tengah-tengah konflik di Gaza.
"Saya telah tegas dengan pemimpin Israel bahawa keganasan pelampau terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat mesti dihentikan dan mereka yang melakukan keganasan mesti bertanggungjawab," katanya.
"Amerika Syarikat bersedia untuk mengambil langkah kita sendiri, termasuk mengeluarkan larangan visa terhadap pelampau yang menyerang orang awam di Tebing Barat."
Kementerian kesihatan Palestin di Ramallah berkata sejak perang Gaza bermula, lebih 200 rakyat Palestin telah terbunuh di Tebing Barat, dengan peningkatan dalam serbuan tentera dan keganasan peneroka Israel.- AFP