fb fb fb fb fb

Tiada negara berhak veto isu Palestin

(Wakil tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Zhang Jun/REUTERS)

BEIJING, 29 September- China menegaskan tiada siapa berhak menggunakan kuasa veto masing-masing dalam isu-isu mengenai masa depan dan nasib rakyat Palestin, lapor agensi berita Jordan (Petra), memetik kenyataan wakil China pada Rabu.

Dalam ucapannya pada mesyuarat Majlis Keselamatan, wakil tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Zhang Jun, menekankan pentingnya untuk menegakkan keadilan dan hak Palestin.

"Bukan tiada pelan untuk menyelesaikan isu Palestin, namun tiada hati nurani yang baik untuk menegakkan keadilan. Majlis Keselamatan melaksanakan tanggungjawabnya bukanlah bergantung kepada slogan yang lantang, sebaliknya perlu mengambil tindakan konkrit," katanya.

Beliau berkata, Majlis Keselamatan wajar melaksanakan tugasnya secara objektif dan saksama mengikut konsensus antarabangsa dan menggalakkan semula rundingan Palestin-Israel tanpa berlengah, dan bukannya menunggu apa yang dianggap sebagai dialog matang.

(Zhang Jun, menekankan pentingnya untuk menegakkan keadilan dan hak Palestin/REUTERS)


"Penyelesaian jangka panjang dalam isu Palestin-Israel mesti berdasarkan penyelesaian dua negara. Ini konsensus antarabangsa, dengan keadilan yang menjadi asas utama mesti dipatuhi dengan tegas," kata diplomat itu.

Beliau juga menegaskan China menyokong keadilan untuk rakyat Palestin mendapat semula hak kenegaraan mereka yang sah, dan menyokong penubuhan negara Palestin yang merdeka dengan kedaulatan penuh berdasarkan sempadan 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya. – BERNAMA

Media Baharu