fb fb fb fb fb

Korea Utara sasar peluru berpandu balistik selepas Naib Presiden AS melawat DMZ

(Korea Utara melepaskan dua peluru berpandu balistikhanya beberapa jam selepas
Naib Presiden AS Kamala Harris melawat Korea Selatan/AFP)


SEOUL, 29 September- Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris, hari ini melawat sempadan Korea Selatan dan Korea Utara yang dikawal ketat, sebahagian daripada kunjungan yang bertujuan mengukuhkan pakatan keselamatan dengan Seoul.

Bagaimanapun, beberapa jam selepas pesawat Harris meninggalkan Pangkalan Udara Osan, Korea Utara melepaskan 'peluru berpandu balistik yang tidak dikenal pasti', demikian menurut tentera Seoul.

Pelancaran peluru berpandu pada Khamis malam itu adalah yang ketiga dilakukan Pyongyang dalam masa kurang seminggu, yang terus memecah rekod ujian senjata pada tahun ini.

Terdahulu, bercakap di Zon Bebas Tentera (DMZ), Harris menekankan bahawa komitmen AS terhadap pertahanan Korea Selatan adalah sangat kukuh dan sekutu itu 'selaras' dalam tindak balas mereka terhadap peningkatan ancaman yang ditimbulkan program senjata Korea Utara.

Seoul dan Washington mahu 'penyingkiran nuklear sepenuhnya di semenanjung Korea', namun buat sementara waktu, mereka 'bersedia untuk menangani sebarang kemungkinan', katanya.

 

(Orang ramai menonton tsiaran berita dengan rakaman fail ujian peluru berpandu
Korea Utara,di stesen kereta api di Seoul/AFP)

Pegawai Korea Selatan dan AS sejak berbulan lalu memberi amaran yang Kim Jong-un sedang bersedia untuk melakukan satu lagi ujian nuklear, dengan agensi perisik Seoul berkata, ia boleh berlaku seawal bulan depan.

Harris mengecam 'tindakan diktator kejam Korea Utara, pencabulan hak asasi manusia yang berleluasa dan program senjata yang menyalahi undang-undang, yang mengancam keamanan serta kestabilan'.

Di pos pemantauan di atas bukit curam yang menghadap Korea Utara, Harris melihat melalui teropong besar, ketika askar AS dan Korea Selatan menunjukkan beberapa ciri, termasuk pertahanan di kawasan itu.

"Ia sangat dekat," katanya.

Harris juga melawat Perkampungan Gencatan Senjata Panmunjom, tempat presiden AS pada 2019, Donald Trump bertemu Jong-un dan bercakap dengan tentera AS di Kem Bonifas di Kawasan Keselamatan Bersama.

Di sebelah sempadan Korea Utara di Panmunjom, pengawal dengan sut hazmat kelihatan sedang memerhati ketika Harris ditunjukkan garisan sempadan antara kedua-dua negara, yang secara teknikalnya masih berperang. - AFP

Media Baharu