GAZA CITY, 4 OGOS - Kumpulan Hamas menegaskan bahawa tahanan Israel tidak akan diberi sebarang “keistimewaan khas” dalam pemberian makanan berbanding rakyat Gaza yang lain.
Sayap ketenteraan Hamas, Briged Al-Qassam berkata, makanan yang diberikan kepada tahanan adalah sama seperti yang dimakan oleh pejuang mereka dan penduduk Palestin di wilayah itu.
"Mereka tidak akan diberi sebarang keistimewaan dalam keadaan jenayah dan krisis kebuluran serta sekatan yang berlaku sekarang ini,” menurut kenyataan itu.
Hamas turut menyatakan kesediaan untuk membenarkan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) menyalurkan bantuan kepada tahanan Israel.
Namun Hamas meletakkan syarat bahawa laluan kemanusiaan perlu dibuka terlebih dahulu ke seluruh Semenanjung Gaza.
“Kami bersedia memberi respons positif terhadap sebarang permintaan Palang Merah untuk menghantar makanan dan ubat-ubatan kepada tahanan musuh (Israel). Namun, penerimaan itu bergantung kepada pembukaan koridor kemanusiaan... bagi membolehkan laluan makanan dan ubat-ubatan ke seluruh Gaza,” jelas Al-Qassam dalam kenyataan berasingan.
Kenyataan dikeluarkan ketika krisis kemanusiaan di Gaza terus meruncing akibat sekatan berpanjangan dan kekurangan bekalan makanan yang semakin kritikal.
Sementara itu, REUTERS melaporkan Hamas menyiarkan dua video terbaru menunjukkan tahanan Israel, Evyatar David, dalam keadaan amat lemah dan kurus kering ketika berada di dalam terowong bawah tanah di Gaza.
Dalam video kedua yang diterbitkan Sabtu lalu, David mendakwa dirinya tidak makan selama beberapa hari dan kini sedang menggali kuburnya sendiri.
Rakaman itu menunjukkan David duduk dalam terowong sambil menyatakan tarikh 27 Julai, namun Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas lokasi atau tarikh sebenar rakaman tersebut. - AFP & REUTERS