WASHINGTON, 1 Februari- Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth pada Jumaat mengeluarkan panduan yang melarang penggunaan sumber Pentagon untuk meraikan bulan-bulan yang mengiktiraf individu daripada pelbagai latar belakang etnik, dengan menyifatkan tindakan itu sebagai merosakkan perpaduan dalam tentera.
Pentadbiran Presiden Donald Trump telah menyerang beberapa polisi tentera yang ditentang oleh pihak Republikan sejak beliau memegang jawatan, termasuk usaha untuk mengakhiri apa yang digelar beliau sebagai 'ideologi transgender' dalam angkatan tentera dan mengembalikan anggota tentera yang dipecat kerana enggan menerima vaksin COVID-19.
"Perpaduan dan tujuan kita adalah penting untuk mencapai misi ketenteraan jabatan ini. Usaha untuk memecah-belahkan pasukan, untuk meletakkan satu kumpulan lebih utama daripada yang lain merosakkan semangat persaudaraan dan mengancam pelaksanaan misi," menurut kenyataan mengenai keputusan Hegseth.
Antara acara dimansuhkan termasuk Bulan Sejarah Kulit Hitam, Bulan Sejarah Wanita, Bulan Warisan Asia Amerika dan Kepulauan Pasifik, Bulan Warisan Hispanik Nasional dan lain-lain yang tidak lagi akan disambut.
"Anggota perkhidmatan dan orang awam dibenarkan untuk menghadiri acara ini secara tidak rasmi di luar waktu bertugas," kata kenyataan itu, sambil mencadangkan supaya kejayaan dan keberanian wira tentera dari semua kaum, jantina dan latar belakang diraikan.- AFP