GAZA, 29 April- Hamas menyatakan "tiada isu besar" selepas mengkaji cadangan terbaru Israel untuk perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan yang telah lama di Gaza selepas hampir tujuh bulan konflik.
Menurut seorang pegawai kanan Hamas, delegasi Hamas akan tiba di Mesir hari ini untuk mengemukakan maklum balas kumpulan itu terhadap cadangan Israel.
"Suasananya positif melainkan ada halangan baharu di pihak Israel," kata pegawai itu yang enggan dikenali.
Israel telah mendapat tekanan hebat daripada sekutu global untuk mencapai gencatan senjata dan telah membawa Gaza ke ambang kebuluran, menyebabkan sebahagian besarnya menjadi runtuhan dan menimbulkan kebimbangan konflik yang lebih luas.
Penunjuk perasaan di Israel menuntut pemerintah menjamin pembebasan tebusan yang diculik anggota Hamas pada Oktober 7.
Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat berusaha untuk mencapai gencatan senjata baharu sejak pertempuran ditangguhkan sementara selama seminggu pada November yang menyaksikan 80 tebusan Israel ditukar dengan 240 warga Palestin yang ditahan di penjara Israel.
Menurut Kementerian Kesihatan kendalian Hamas, sekurang-kurangnya 34,454 orang penduduk Palestin terkorban di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Hamas sebelum ini menegaskan gencatan senjata kekal adalah syarat yang ditolak Israel.
Bagaimanapun, laman berita Axios, memetik dua pegawai Israel, melaporkan bahawa cadangan terbaru Israel termasuk kesediaan untuk membincangkan "langkah-langkah mengembalikan keadaan tenang" di Gaza, selepas tahanan dibebaskan.
Ia adalah kali pertama pemimpin Israel mencadangkan mereka terbuka untuk membincangkan menamatkan konflik, lapor Axios.
Sumber terdekat dengan rundingan tersebut memberitahu AFP ia "terbuka untuk membincangkan cadangan baharu tersebut dengan positif" dan "berminat untuk mencapai gencatan senjata kekal, membolehkan orang ramai yang kehilangan tempat tinggal pulang, perjanjian penukaran tahanan dan memastikan kepungan ke atas Gaza ditamatkan".
Menurut White House, semasa rundingan diplomatik, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden telah berhubung dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu melalui panggilan telefon pada Ahad (28 April) dan menilai rundingan terkini.
Beberapa negara yang terlibat untuk mencapai gencatan senjata yang berada di sebuah sidang kemuncak di Arab Saudi, dengan Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan berkata bahawa masyarakat antarabangsa gagal mempertahankan Gaza.
"Keadaan di Gaza jelas sekali adalah malapetaka dalam setiap langkah, kemanusiaan, juga kegagalan sepenuhnya sistem politik sedia ada untuk menangani krisis itu," titah Putera Faisal kepada Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Riyadh.
Tegas Baginda hanya "langkah boleh dipercayai dan kekal bagi sebuah negara Palestin" dapat menghalang dunia daripada berdepan "situasi serupa dalam dua, tiga, empat tahun akan datang.
Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menegaskan, hanya Amerika Syarikat berupaya menghentikan serangan Israel di bandar Rafah.
Menurut Abbas, serangan yang dijangka berlarutan selama beberapa hari itu akan memaksa ramai penduduk Palestin meninggalkan kawasan berkenaan, sekali gus, mengakibatkan malapetaka besar dalam sejarah Palestin.-AFP